Saya salah seorang PLHIV. Saya seringkali membuka ruangan blog ini dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa tetapi inilah kali pertama saya tampil untuk menyumbangkan sesuatu. Saya berharap ianya menjadi inspirasi buat insan senasib saya.
Saya ingin sekali berkongsi kisah suka duka kehidupan saya yang telah 8 tahun hidup bersama virus HIV di dalam badan saya.
Saya adalah anak kesayangan ayah. Saya dididik dengan baik dan mempunyai diploma dalam bidang yang saya minati. Walaupun sudah berkawin dan mempunyai seorang anak, ayah masih menganggap saya anak manjanya.
Ayah masih nak ikat rambut saya dan tunggu saya datang untuk potong kukunya. Tetapi langit tidak selalunya cerah. Ibubapa mana yang tidak hancur hatinya apabila mendapat tahu anak kesayangannya dijangkiti virus HIV. Tidak cukup dengan itu, anak saya juga turut dijangkiti.
Selepas itu hidup saya seolah-olah tidak bermakna lagi. Saya tidak peduli tentang diri saya, anak saya dan suami saya.
Pendapat doktor yang mengatakan saya hanya mampu hidup 4 tahun sahaja lagi terngiang-ngiang di telinga. Sehinggalah suami meninggal dan anak dijaga oleh bekas mertua, saya tetap mengurung diri.
Badan kurus menampakkan tulang, kulit bertukar hitam dan saya tidak mampu berdiri sehingga terpaksa mengensot untuk ke bilik air. Mak dan ayah hanya mampu menangis melihat saya.
Ketika itu saya amat pasti hidup saya tidak panjang dan masa depan saya gelap. Seolah-olah menanti hari kematian sahaja. Saya amat pasti akan pergi menghadap yang Maha Esa bila-bila masa sahaja.
Itulah yang berlaku 8 tahun dahulu tetapi sekarang, siapa sangka saya masih di sini. Saya bangga dengan diri saya. Saya mempunyai kerjaya sendiri dan keluarga saya amat mengambil berat dan sayangkan saya sama seperti dulu.
Dan yang paling indah, 2 tahun yang lalu saya bertemu jodoh dengan seorang yang amat menyayangi dan memahami saya dan dia BUKAN HIV+.
Hari-hari yang saya lalui bertambah indah apabila tanggal 2 November 2010 saya selamat melahirkan seorang putera yang amat comel dan yang paling penting, dia bebas dari virus HIV. Bulan depan umurnya genap setahun.
Anak pertama dengan bekas suami sudah tahun 3 di sekolah rendah. Dia juga tinggal bersama saya. Pelajarannya cemerlang dan IQnya juga tinggi. Bacaan CD4 dan viral load nya di tahap yang tidak membimbangkan
Saya bercita-cita ingin melihat dia belajar sehingga mendapat ijazah dan berkahwin. Saya tidak akan berputus asa, insya-Allah...
Sungguhpun begitu, 8 tahun adalah jangkamasa yang agak lama. Banyak pahit maung yang saya lalui. Tidak lekang daripada stigma dan diskriminasi masyarakat, keluarga dan termasuk kakitangan hospital.
Bukan mudah untuk saya melaluinya dan menjadi begini. Seperti kawan-kawan yang lain, saya juga pernah dihina, dicaci dan disisihkan oleh saudara sendiri TETAPI semuanya terpulang pada diri kita sendiri.
Hanya diri sendiri yang mampu mengubahnya. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...” Jadi berusahalah dan sentiasa berdoa. Insya-Allah Tuhan pasti memudahkannya.
Salam dan Ikhlas,
Seroja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan