Amina Farah Ali (kanan) dan Hawo Mohamed Hassan |
Majlis Berkaitan dengan Hubungan
Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberikan kemudahan
kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang
didapati bersalah berhubung dengan dakwaan keganasan terpaksa membuka
tudungnya semasa berada dalam tahanan.
Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan
rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana
menyalurkan wang kepada "kumpulan pengganas" Al-Shabab di Somalia.
Peguam wanita itu, Dan Scott berkata,
anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam.
Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang
bukan muhrim.
"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Pemakaian tudung itu amat penting baginya," kata Scott.
"Dia kini di penjara. Justeru, apa yang
dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan
ajaran agamanya," tambah peguam itu.
Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah
Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di
penjara atas faktor keselamatan.
Pakaian awam termasuk tudung katanya,
tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana pakaian itu mungkin digunakan
sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan.
Namun, ujar Brott, pihaknya sedang
berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan
pengecualian kepada Amina atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan