Solat asas keteguhan keperibadian Muslimin
"Apabila mendengar azan bangun serta-merta walau dalam
keadaan bagaimana sekali pun." kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya yang
pertama.
Di
dalam 10 wasiat asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, beliau mengingatkan IKHWAN
berhubung solat. Solat terletak di tempat yang pertama, mengatasi segala yang
lain.
Hal
ini sesuai sekali dengan kisah bagaimana pendirian baginda Rasulullah s.a.w
tentang solat. Solat adalah antara ucapan terakhir yang kerap disebut oleh
baginda menjelang hari terakhir kewafatannya.
"Apabila
mendengar azan bangunlah serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun,"
demikian pesan al-Banna. Kenapa sang mujaddid ini meletakkan ungkapan sebegitu?
Solat
adalah benteng yang mengeluarkan manusia daripada garis-garis kesesatan. Dalam
solat itu, terkandung kewajipan membaca surah al-Fatihah dan dalam surah itu
kita telah diwajibkan untuk membaca doa ihdina as-Siratal Mustaqim.
"Berilah
kami petunjuk ke arah jalan yang diluruskan," itulah doa teragung yang
wujud di dalam surah tersebut. Maka, jika manusia tidak menunaikan solat,
mereka akan terhalang daripada rahmat Tuhan dan terdedah kepada jalan-jalan
kesesatan.
Iblis
akan menipu manusia melalui bisikan kata-kata bahawa kedudukan mereka itu telah
tinggi dan mencapai kedudukan tertentu. Lalu, mereka tidak perlu lagi
menunaikan solat. Helah ini berguna untuk memusnahkan jiwa manusia.
Dengan
sikap enggan menunaikan solat itu tadi, manusia akan semakin mudah disesatkan
kerana lidah mereka terasa asing daripada menyebut doa, "Berilah kami
petunjuk ke arah jalan yang diluruskan."
Solat
inilah satu-satunya amalan yang perlu dilakukan setiap hari bertujuan agar
manusia itu sentiasa terjalin hubungannya dengan Tuhan setiap masa.
Ada
amalan yang dibuat setahun sekali seperti berpuasa di bulan Ramadhan,
menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji sekurang-kurangnya sekali seumur
hidup.
Dunia tidak sunyi daripada solat
Dengan
peredaran matahari dan bulan, dunia kita ini tidak pernah sunyi daripada
laungan azan yang menyeru manusia agar bingkas menunaikan solat.
Ertinya,
dunia ini akan sentiasa bergema dengan kalimah Tauhid. Dengan sebab itu, siapa
yang bersolat, maka dia telah menegakkan Islam di dalam dirinya dan negaranya.
Sabda
Rasulullah s.a.w, "Solat itu tiang agama. Sesiapa yang menunaikan solat,
maka dia menegakkan tiang agama. Dan sesiapa yang yang tidak menunaikan solat
bererti dia telah meruntuhkan agamanya."
Dengan
menunaikan solat, jiwa terasa tenang, hati terasa lapang. Hati terang, tenang
serta jiwa yang lapang inilah yang menumbuhkan kekuatan jiwa dalam diri
seseorang Muslim itu untuk terus hidup dalam keimanan dan ketaqwaan.
Sebaik-baiknya solat itu perlu segera ditunaikan pada awal waktu, pada ketika
mendengar azan. Menurut Hasan al-Banna, solat itu hendaklah diusahakan semampu
yang terdaya. Ini membuktikan kesungguhan kita.
Hasan
al-Banna mengaitkan azan dengan solat dalam wasiatnya yang pertama ini. Di
situ ada sumber kejayaan. Di situ ada sumber pertolongan. Di situlah akar
taufik. Perhatikan juga, banyak perintah dalam al-Quran dimulakan dengan
menyebut solat di awalnya.
Perhatikan bagaimana
Tuhan mensyariatkan solat. Solat juga di medan perang. Walaupun pada saat
genting, darurat dan kecemasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan