"Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu
yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak
menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri,
maka ringkaskanlah pelaksanaannya." demikian wasiat Hasan al-Banna yang terakhir.
Kepada
setiap pendakwah atau seorang Islam yang sejati, masanya sangat penting. Mereka
harus waspada selalu dengan penggunaan masa. Masa yang tidak digunakan dengan
teliti akan menyebabkan kita akan menyesal tanpa kesudahan.
Ini
kerana, masa yang sudah terlepas itu tidak boleh diganti lagi. Pepatah Melayu
ada menyatakan, patah tumbuh hilang berganti. Tetapi, bidalan itu merujuk
kepada seseorang pemimpin yang telah mati atau barang hilang yang mungkin boleh
ditemukan semula atau sesuatu yang hilang dan boleh digantikan semula.
Yang
tak boleh digantikan semula ialah waktu, saat, detik, dan masa. Oleh kerana
masa ini sangat penting, maka setiap bangsa punya peraturan, falsafah dan
pepatah yang lengkap tentang kepenggunaan waktu. Antara bangsa Asia, kita
selalu mendengar bahawa bangsa Jepun menghargai waktu.
Bagaimanapun
mereka maju di dunia kerana falsafah penggunaan masa itu hanya sekadar untuk
memenuhi keperluan di dunia. Sedangkan, Islam menyeru umatnya agar mengguna
masanya guna memenuhi keperluan di dunia dan kebutuhan di akhirat.
Pepatah
Melayu menyebutkan bahawa masa itu emas. Malah emas, perak dan intan berlian
sekali pun belum dapat menandingi harga emas. Kalau emas itu hilang, maka emas
itu boleh dicari semula atau pun diganti dengan wang, tanah atau apa-apa pun
yang ada harganya. Itulah kayu ukur yang menandakan masa itu sangat berharga.
Iaitu,
jika masa telah berlalu, maka tiada suatu kuasa apa pun yang dapat
menggantikannya atau mengembalikannya. Tapi, jika emas hilang, nescaya ada
seribu satu jalan, kuasa yang dapat berikhtiar menggantikannya.
Waktu
tidak boleh dicipta, malah alam ini tercipta oleh peredaran waktu. Tuhan
menyebut bahawa alam ini tercipta dalam enam masa. Masa cuma boleh dinamakan,
dipenggal, dipecahkan, dipotong sebagai hari, minggu bulan serta dinamakan
Ahad, Isnin dan sebagainya. Jika ada keperluan untuk amalan rohani gelap, maka
ia dinamakan Keliwon mengikut lidah Jawa.
Masa
itu tidak boleh direkabentuk seperti benda-benda yang boleh dipegang. Setiap
yang boleh dipegang boleh dipatahkan dengan benda lain. Pokok yang dipatahkan
rantingnya boleh tumbuh semula. Kerana itu, manusia boleh berkata, yang patah
itu boleh tumbuh dan yang hilang boleh berganti. Ini kerana, patah dan tumbuh
itu sifat benda dan bukan sifat masa.
Malah,
masa itu boleh mengancam manusia. Saidina Ali berkata, "Masa itu umpama
pedang. jika kamu tidak 'memenggalnya', nescaya ia akan 'memenggal'
lehermu."
Sebenarnya
yang menyebabkan masa itu berharga ialah disebabkan adanya kerja, tugas, amanah
yang perlu disiapkan semasa waktu itu sedang berjalan.
Jika
bukan kerana itu, maka masa itu tidak berharga. Misalnya, dengan peredaran
masa, pokok perlu membesar dan ia dijual dengan masa tertentu. Sebab itulah
masa untuk menunggu pokok itu membesar amat berharga.
Dalam
hal ini masa disalahgunakan dalam perniagaan yang melibatkan riba. Sekiranya
kita tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh waktu tertentu, maka bunga
(riba) akan naik. Demikianlah masa disalahgunakan dalam 'industri' riba.
Maka
Hasan al-Banna telah memulakan wasiatnya dengan menggunakan ungkapan 'kewajipan
kita' yang bermaksud usaha dakwah kepada umat ini. Kewajipan usaha dakwah ini
ada pertalian yang amat erat dengan penggunaan waktu.
Masa makin singkat dan suntuk!
Tetapi
jumlah usaha dakwah itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah
peruntukan waktu yang kita ada. Di dalam peruntukan 24 jam sehari semalam, kita
mungkin memerlukan 48 bentuk dan 72 jenis dakwah. Dalam kata lain, kita mungkin
perlukan 2 atau 3 kali ganda program dakwah atau lebih daripada itu dalam
tempoh 24 jam.
Itu
maksud Hasan al-Banna; jumlah usaha dakwah perlu digembeling dalam jumlah waktu
yang sungguh singkat. Masa seperti semakin pendek apabila terlalu banyak urusan
dakwah yang perlu dibereskan.
Daripada
Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak akan
terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti
sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti
sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti
satu percikan api." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Hasan
al-Banna, ketika menyusun wasiatnya, beliau mungkin terkesan dengan sabda
Rasulullah s.a.w ini. Bilangan manusia yang ingin melakukan perubahan ke arah
kebaikan dan islah sangat kurang berbanding manusia jahat yang memperuntuk masa
dan hartanya ke arah kemusnahan dunia dan tamadun ini.
Oleh
itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun
ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian,
kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.
Bantu manusia menguruskan waktunya
Barangkali..
lantaran terkesan dengan semua inilah, maka Hassan al Banna memulakan usaha
dakwah di kedai-kedai makanan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid.
Beliau benar-benar mahukan insan berpeleseran tanpa tujuan ini akhirnya akan
faham matlamat hidupnya.
Apabila
manusia itu mula faham akan falsafah dan matlamat hidup, maka akan wujud
manusia yang akan menggunakan masanya dengan betul, baik dan sempurna.
Manusia
yang telah mula dibangunkan kesedarannya ini akan tertanya-tanya pula tentang
bagaimana seharusnya mereka mahu memanfaatkan waktunya di dunia ini sementara
menunggu waktu di akhirat kelak.
Maka..
di sini Al-Banna menyarankan pendakwah agar membantu mereka yang telah terbuka
hatinya untuk memahami bagaimana mereka perlu memanfaatkan waktunya untuk
beribadah sementara menunggu waktu dihisab di akhirat kelak.
"Oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara
bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan kalau saudara mempunyai
tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya," demikian pesan al-Banna lagi.
Orang
yang telah dilembutkan hatinya dan dilunakkan jiwanya sentiasa tertanya-tanya
mengenai apakah amalan yang harus dilakukan guna mencapai redha ilahi. Soalan
semacam ini kerap hinggap di ranting pertanyaan sahabat dan baginda selalu
hadir bagi menjawab setiap pertanyaan tersebut.
Ghairahnya
para sahabat dalam beramal sehingga mereka kerap bertanya, apakah amalan yang
paling baik dan bermacam pula jawapan baginda tergantung kepada keadaan rohani
para sahabat itu.
Jika
dilihatnya sahabat itu menderhakai ibu bapanya maka baginda bersabda, berbuat
baiklah kepada ibu bapa. Jika dilihatnya penyoal itu seorang yang panas baran,
maka dia menasihatkan orang itu supaya tidak marah-marah.
Mereka
yang mula lunak kepada agama tidak tahu atau terlupa tentang cara-cara
menggunakan masa sebagai yang disaran di dalam al-Quran. Mungkin kerana
keterbatasan dalam bahasa Arab, mereka tidak faham mesej dalam surah
Al-Muzzammil.
[1] Hai orang yang berselimut! [2] Bangunlah sembahyang
Tahajjud pada waktu malam, kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak
untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari
separuh itu, [4] Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran
dengan "Tartil."
[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan
diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana)
sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi
perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia
menyempurnakannya).
[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat
kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. [7] (Kami galakkan
engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada
siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.
Orang
yang didakwah atau mereka yang baru dinyalakan pencerahan rohani dalam dirinya,
selalu hidup pelbagai ragam persoalan dalam hatinya dan menyalalah pula
pelbagai rencam pertanyaan yang berwarna-warni dalam dirinya berhubung
langkah-langkah awal menuju ke arah kesempurnaan hidupnya sebagai manusia
terbaik.
Jadi,
bagaimana mereka harus bermula? Jika ada amalan permulaan, maka apakah amalan
permulaan itu?
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta
kerjakanlah "Sembahyang Tahajjud" padanya sebagai sembahyang tambahan
bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada akhirat di tempat
terpuji." (Al-Isra':
79)
Adakah
insan yang baru merangkak, baru melabuhkan pencarian untuk mendakap pencerahan
jiwa serta akal fikirannya dapat menyelami hasrat Tuhan sebagai yang terkandung
ayat-ayat al-Qur'an di atas? Mereka perlukan masa untuk dibimbing serta masa
perlukan pembimbing yang sabar, teguh hati, kuat pendirian, bijaksana, berhemah
tinggi yang kental spiritual.
Ringkaskan amalan untuk membantu saudara lain
Sebab
itulah Al-Banna menyarankan anggota IKHWAN Muslimin atau para
pendakwah meringkaskan sahaja urusan mereka untuk membantu saudara mereka yang
mahu dibangkitkan kesedaran dalam jiwanya.
Bagi
Al-Banna, amalan peribadi yang bertujuan menolong keperluan peribadi di
akhirat, hanya bermanfaat untuk keperluan mereka sahaja. Sedangkan, usaha
mengirim ilmu ke dalam dada manusia yang kosong tanpa dihuni hikmah pengetahuan
sangat berguna kepada kedua-dua pihak, sama ada pihak pendakwah dan pihak yang
didakwah.
Petunjuk
agama menyatakan bahawa, jika ada seseorang beramal dengan sebab ajaran kita,
maka pahala dengan sebab amalan itu turut mengalir ke dalam 'akaun pahala' kita
kelak.
Sebab
itu, pendakwah perlu meringkaskan dan menyedikitkan ruang untuk keperluan
amalan peribadi supaya lebih banyak ruang dapat dimanfaatkan untuk tujuan
pendidikan dan pengajaran ke atas manusia lain yang dahagakan pengetahuan
daripada mereka.
Mereka
yang berkhalwat, beruzlah, dan bersuluk tanpa berusaha keras menggerakkan
nurani manusia untuk mendapat imbuhan pencerahan rohani daripada Tuhan, tidak
termasuk dalam jenis manusia pencerahan.
Al-Banna, Badiuzzaman
Said Nursi, dan lain-lainnya adalah ulamak sufi dan bersuluk di 'gua pertapaan'
lalu keluar ke lapangan dalam usaha memerangi amalan khurafat dalam
pemerintahan manusia mustakbirin sekali gus menyinari mendung awan hitam yang
membalut kegelapan hati manusia mustadh'afin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan