Kawe Cakna, Demo Cakna, Kito Bahagia! (I Care, You Care & Happiness!)

Rabu, 12 Oktober 2011

AIDS dan Isu Kesihatan Mental

oleh : Khairul Azhar Bin Idris

Tamaddun manusia akan menyaksikan kemunculan alaf baru tidak berapa lama lagi. Dan isu-isu berkaitan AIDS akan terus menjadi sumber utama bagi kajian-kajian saintifik menjelang alaf tersebut. Pelbagai isu berkaitan dengan masalah ini akan cuba diselongkar oleh umat manusia itu sendiri. Mereka akan cuba mencari apa jua jalan penyelesaian bagi menangani gejala ini yang berpunca daripada kelalaian segelintir daripada golongan mereka. Cabaran yang paling utama mereka menjelang alaf yang akan datang ialah mencari satu bentuk penawar yang betul-betul berkesan bagi meneruskan kesinambungan tamaddun mereka. Atau mungkinkan alaf yang akan datang ini akan terus menyaksikan kehancuran tamaddun mereka yang akan terus lenyap daripada muka bumi ini. Ini kerana, selagi penawar untuk penyakit ini tidak ditemui, selagi itulah umat manusia akan berhadapan dengan kematian. 

Di samping itu, pelbagai isu lain yang berkaitan akan terus diberi perhatian. Dasarnya adalah untuk memberi harapan dan sokongan kepada seberapa ramai mereka yang telah dijangkiti penyakit ini. Antaranya, menuntut perubahan gaya hidup golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini kepada gaya hidup yang lebih bersih dan bermoral. Begitu juga, perubahan sikap dan pandangan serong masyarakat terhadap penyakit dan pesakit AIDS memerlukan penilaian semula atas beberapa faktor yang lebih logik dan lebih berperikemanusiaan. 
Di antara beberapa isu yang juga penting untuk diketengahkan adalah isu berkaitan kesihatan mental bukan sahaja di kalangan pesakit AIDS, tetapi juga mereka yang terlibat secara langsung menangani gejala ini seperti penjaga kepada pesakit, ahli keluarga pesakit, pertubuhan-pertubuhan kesihatan mental dan badan-badan bukan kerajaan bagi menangani gejala tersebut. Kesihatan mental di kalangan pesakit AIDS dan penjaga mereka adalah penting kerana ia melibatkan kos penjagaan dan ubatan.

Gejala AIDS 


AIDS atau Acquired Immunodeficiency Syndrome adalah satu bentuk tanda gejala yang wujud kerana adanya jangkitan dari virus HIV atau Human Immunodeficiency Virus ke atas seseorang. Jangkitan yang berlaku menjadikan seseorang yang dijangkiti mengalami kegagalan fungsi sistem daya tahan badan melawan sebarang agen biologikal yang memasuki badan. Virus HIV bukanlah satu virus yang bersifat fatal. Ia bukanlah virus yang boleh membawa maut. Kebanyakan mangsa AIDS pula bukan mati kerana virus ini, tetapi mereka mati kerana sindrom AIDS, iaitu satu komplikasi tidak langsung daripada tingkahlaku virus HIV tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila kita sering mendengar ungkapan seperti �infecting HIV is not the end of the world� atau dijangkiti HIV bukanlah bermakna hidup kita telah sampai ke penghujungnya. Walaupun ada benarnya, satu realiti yang harus diterima ialah risiko jangkitan virus HIV akan berakhir dengan maut!!!.

Tingkahlaku virus HIV


Virus HIV adalah sejenis organism yang mengandungi protein RNA. Di dalam sistem soma yang normal, RNA atau ribonucleic acid diperlukan bagi membawa maklumat yang berkaitan dengan perkembangan sesuatau organism. Pada kebiasaannya, RNA disintesis daripada DNA atau deoxyribonucleic acid. Tetapi keadaan ini berbeza dengan virus HIV. Virus ini sebaliknya memerlukan DNA yang diperolehi daripada proses sintesis daripada RNA bagi memperolehi maklumat genetik sesuatu organism dan ia memerlukan sejenis enzime dikenali sebagai reverse transcriptase enzyme, sejenis enzime yang diperlukan dalam proses sistesis tersebut. Bersadarkan kepada orientasi genetik virus ini, ia telah digolongkan ke dalam kumpulan retrovirus. 
Ia kemudiannya menggunakan maklumat genetik DNA ini untuk mengawal dan menguasai mobiliti dan tingkahlaku organism lain yang telah dijangkitinya. Seterusnya, ia akan menyamar dan menyerupai organism yang telah dijangkitinya itu berdasarkan kepada maklumat genetik yang telah dicerobohnya untuk memasuki sistem darah dengan tujuan untuk melemah, menyerang dan menguasai sistem pertahanan badan seseorang itu. 

Tujuan utama penyamaran oleh virus ini adalah untuk menghampiri dan menyerang sel T4 LYMPHOCYTES, sejenis sel darah putih yang juga dikenali sebagai CD4, iaitu sel yang berfungsi memusnahkan benda asing daripada memasuki dan menguasai sistem badan manusia. Virus ini seterusnya akan memusnahkan sel-sel T berkenaan dan melumpuhkan sistem daya tahan badan seseorang. 

Mereka yang telah diserang oleh virus ini mempunyai bilangan atau jumlah CD4 yang berkurangan daripada normal (WHO menetapkan bilangan sel T4 berkurangan sebanyak 20% daripada paras normal untuk diagnosis AIDS). Keadaan ini menjadikan sistem badan tidak mempunyai bilangan sel-sel penentang yang mencukupi untuk mempertahankan sistem badan daripada diserang oleh benda asing kerana sistem daya tahan badan telah lemah dan semakin lumpuh. Oleh yang demikian, sebarang benda asing seperti virus, bakteria, protozoa dan kulat yang memasuki badan atau yang telah sedia ada mendiami organ-organ tertentu di dalam badan yang pada asalnya tidak merbahaya, kini boleh membawa maut. Sebagai contohnya, Pneumocystis carinii pneumonia yang disebabkan oleh aktiviti mikro organism yang telah sedia ada mendiami paru-paru. Jangkitan lain seperti Candidiasis dan Cryptococcosis, kedua-duanya berpunca daripada jangkitan kulat. Terdapat juga jangkitan daripada protozoa yang dikenali sebagai Toxoplasmosis, yang menyerang paru-paru, organ seks dan otak, juga boleh menyebabkan kecacatan kongenital seperti kerencatan otak dan buta bagi janin dan biasanya boleh membawa maut untuk pesakit AIDS.

Rawatan untuk AIDS 


Rawatan sedia ada bagi HIV dan AIDS buat masa ini tertumpu kepada pengawalan tanda gejala atau simptom dengan penggunaan dadah sementara menanti kemunculan vaksin yang boleh menghapuskan terus virus HIV ini. Sehingga kini, tiada satu ubat pun yang dapat membunuh virus ini. Buat masa ini, para saintis menggunakan kaedah untuk menghalang pembiakan berterusan virus HIV berdasarkan kepada orientasi genetik virus berkenaan. Oleh kerana virus ini menggunakan DNA yang diperolehi daripada proses sintesis ke atas RNA dengan menggunakan sejenis enzime (enzyme reverse transcriptase), saintis telah mencipta beberapa jenis dadah seperti nucleoside reverse transcriptase inhibitor dan protease inhibitor yang berfungsi sebagai antagonis yang menghalang pembentukan enzime atau memusnahkan terus enzime tersebut agar tidak dapat digunakan oleh virus berkenaan dalam proses sintesis protein mereka. 

Dadah daripada kumpulan ini didapati sangat efektif dengan mengurangkan jumlah virus ini sebanyak 99% dan seterusnya dapat meningkatkan kembali jumlah atau bilangan sel-sel T4 ke paras hampir normal. Buat masa ini, ubat yang biasa digunakan daripada dadah kumpulan ini ialah AZT atau azidothymidine yang didapati amat efektif dalam rawatan AIDS. Selain dari itu, terdapat juga sejenis dadah terbaru dikenali efavirenz, berfungsi untuk terus melekat kepada enzime reverse transcriptase dan seterusnya menghalang atau memusnahkannya agar tidak dapat digunakan lagi oleh virus HIV.

AIDS dan Kesihatan Mental 


Sehingga kini, tiada data dan maklumat terkini berkaitan status kesihatan atau gangguan mental di kalangan penghidap HIV mahupun pesakit AIDS. Walaupun kajian-kajian berkaitan dengan isu ini telah lama dijalankan di Barat, namun tiada lagi isu-isu seperti ini diketengahkan khususnya di negara ini. Sebagaimana yang diketahui dan berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan di Barat, penghidap HIV dan AIDS yang menunjukkan tanda-tanda gangguan mental terdiri daripada mereka yang terkejut dengan jangkitan yang dihadapi dan tidak bersedia untuk menerima realiti tersebut.

Isu kesihatan mental di kalangan penghidap HIV dan pesakit AIDS ini adalah satu isu yang perlu juga diberi perhatian wajar memandangkan ia timbul bersempena wujudnya pandemik ini. Tambahan pula, perhatian yang perlu diberi kepada orang yang sakit bukan hanya tertumpu kepada rawatan fizikal, tetapi juga rawatan terhadap aspek psikologi dan emosi mereka. Mereka juga manusia biasa yang perlukan perhatian dan rawatan yang sempurna, di samping layanan yang adil dan sama rata tanpa rasa pilih kasih. Kebiasaannya, para pesakit yang telah dijangkiti secara tiba-tiba tanpa disedari bahawa mereka telah dijangkiti akan menunjukkan tanda gejala gangguan mental yang serius. Contohnya seperti pesakit yang telah menerima pemindahan darah, mangsa rogol dan mangsa penderaan seksual kanak-kanak yang telah meningkat dewasa. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan kedua berisiko tinggi. Kumpulan utama berisiko tinggi pula merujuk kepada mereka yang menjadi pembawa dan penghidap virus ini dengan cara penyebaran utama (primary transmission) iaitu perkongsian jarum ketika mengambil dadah dan berkongsi atau bertukar pasangan seks secara rambang dengan lebih dari beberapa orang. Mereka adalah golongan yang mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi untuk mudah dijangkiti. Sementara kumpulan kedua berisiko tinggi pula adalah pesakit yang dijangkiti secara sekunder (secondary transmission) seperti melalui pemindahan darah, dan jangkitan ibu kepada bayi dalam kandungan. 

Gangguan mental amat ketara di kalangan para pesakit ini terutamanya bagi golongan kedua berisiko tinggi. Ini kerana mereka percaya bahawa mereka tidak akan dijangkiti dan bukan pula terdiri dari golongan yang berisiko tinggi untuk mudah dijangkiti. Walaubagaimanapun, gangguan ini juga turut dialami oleh kumpulan utama yang berisiko tinggi. Alasannya kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai penyakit ini seperti tidak tahu cara penyakit ini berjangkit dan risiko yang akan dialami apabila telah dijangkiti. Sekalipun mereka memahami cara dan risiko jangkitan, gangguan mental masih tetap akan dialami.

Antara jenis-jenis gangguan mental yang dialami ialah kemurungan, sedih, malu kecewa dan marah serta berputus asa. Rasa takut, bimbang, cemas dan panik sentiasa menghantui fikiran mereka. Ini menambahkan lagi tekanan yang mereka alami. Kesannya, kemungkinan pesakit untuk membunuh diri adalah tinggi. Tekanan adalah satu faktor yang menyumbang kepada gangguan mental. Tekanan yang paling ketara berlaku apabila pesakit mula menyedari mereka telah dijangkiti. Pada peringkat ini, mereka akan mengalami kejutan yang amat sangat di samping rasa takut, cemas, bimbang dan malu. Semua perasaan ini berkisar kepada kemungkinan berkaitan perubahan fizikal yang akan dihadapi, keupayaan kewangan dan kesediaan mental dan emosi serta penerimaan dan tanggapan keluarga dan masyarakat yang bakal diterima kelak. Adalah penting untuk mendidik pesakit agar menerima hakikat bahawa mereka telah dijangkiti. Seterusnya, pesakit hendaklah digalakkan untuk mendapatkan rawatan perubatan tanpa ada rasa takut atau malu. Pada peringkat ini, faktor kewangan merupakan satu lagi bebanan dan faktor yang boleh meningkatkan lagi tekanan mental pesakit yang sedia ada. Ini memandangkan pesakit terpaksa membayar RM300 seminggu untuk ubatan AIDS. Sekiranya gangguan mental di tahap serius, ubatan psikotropik dan rawatan psikologikal amatlah perlu dan ini sudah tentulah akan meningkatkan lagi keperluan kewangan mereka. Di samping itu, penerimaan dan bantuan dari keluarga dan masyarakat akan meringankan lagi beban kesakitan yang ditanggung pesakit.

Adalah amat penting untuk memahami keadaan dan tanda gejala berkaitan gangguan mental yang dialami oleh pesakit AIDS ini agar bantuan dan sokongan yang sewajarnya dapat diberikan. Ini penting agar mereka dapat menikmati kehidupan dengan tenang dan gembira. Ketenangan fikiran akan diperolehi sekiranya mereka dapat menerima keadaan mereka dan juga diterima oleh orang lain, di samping rawatan perubatan dan sokongan psikologi dan emosi serta bantuan moral dan sosial daripada orang tersayang. Apa yang mereka harapkan adalah sokongan dan bantuan yang menunjukkan bahawa mereka masih disayangi, diperlukan dan diterima dalam keluarga dan masyarakat tanpa ada rasa diskriminasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan