Kawe Cakna, Demo Cakna, Kito Bahagia! (I Care, You Care & Happiness!)

Sabtu, 29 Oktober 2011

Kes bunuh model: Lelaki terlepas hukuman gantung

PUTRAJAYA - Seorang pekerja landskap diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh seorang model sambilan yang cuba meliwatnya tujuh tahun lalu.


Mahkamah berpendapat wujud provokasi secara mengejut pada hari kejadian di mana mangsa cuba meliwat tertuduh ketika sedang tidur.

Ismawi Ishak, 26, sebelum ini disabit dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 September tahun lepas kerana membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah mangsa di Jalan Anggerik 1/7, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah, di antara pukul 12.01 tengah malam dan pukul 7.17 pagi 4 Mei 2004.

Bagaimanapun, Ismawi terlepas tali gantung apabila panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati.

Panel tersebut, yang turut dianggotai oleh Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohtaruddin Baki, kemudian meminda tuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun yang sama atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Mahkamah kemudian memerintahkan Ismawi menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh tangkapan pada 9 Mei 2004.

Dalam keputusannya, Abdul Malik berkata, pakar patologi memberi keterangan bahawa berdasarkan 27 kesan luka akibat tetakan dan tikaman ke atas mangsa, boleh disifatkan ia adalah serangan berupa hilang kawalan kerana terlalu marah.

Semasa kejadian, perayu yang berusia 19 tahun dikatakan menumpang tidur di rumah mangsa apabila mangsa menanggalkan seluar tertuduh dan menyentuh tubuh serta cuba meliwatnya dan perbuatan itu telah menimbulkan kemarahannya.

Terdahulu, peguam Ismawi yang dilantik oleh mahkamah, K. Vikneswaran menggesa mahkamah meminda tuduhan itu kerana ia bukan pembunuhan yang dirancang tetapi sebaliknya anak guamnya hilang pertimbangan dan marah apabila mangsa cuba meliwatnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin berkata, kesan luka ke atas mangsa sudah cukup membuktikan niat Ismawi untuk membunuh mangsa. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan