Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang
dikehendaki oleh pendengar kita. Demikianlah antara wasiat Imam Hasan al-Banna.
Percakapan
yang nyaring dan kuat banyak mengundang masalah seperti mengundang kemarahan
orang dan menyuburkan takbur di hati para penceramah dan pendakwah itu sendiri.
Dalam
hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan anak-anaknya
sebagai berikut:-
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah
suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara
keldai."
[Luqman: 19]
Justeru,
menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka agar tidak
meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini kerana, hal
meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.
Hal
kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di Rumah
Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna sendiri.
Di
dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang keras dan
nyaring dalam keluarga beliau.
Semua
ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori dan
melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini, al-Banna
benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu sebagai panduannya.
Sikap
nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah juga patut
diberikan perhatian..
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu
mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan
yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan)
itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat
sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Ali Imran:159]
Demikian
juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s dan Harun a.s untuk berdepan dengan
kezaliman Fir'aun.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan
kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." [Taha: 44]
Jangan nyaring berwirid
Malah
dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali pun, Allah s.w.t
menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan tidak nyaring.
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu,
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan
dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah
engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [Al-'Araaf: 205]
Mungkin,
dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang lain dan dengan
itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit 'ujub dan sum'ah.
Lantas,
timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir, meratib
beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka. Maka, bagaimanakah
kedudukan ratib, zikir mereka ini?
Dalam
hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan, diharuskan dengan
sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana, bagi sesetengah orang,
penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana mereka terlalu banyak
berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan duniawi sebelum ini.
Maka,
hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan. Mungkin, apabila
tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid dengan perlahan-lahan di
tempat suluk mereka sendiri. Wallahu'alam..
Jangan keraskan suara di depan guru
Perihal
keburukan suara yang nyaring ini telah dibangkitkan oleh Allah s.w.t dalam
al-Quran, di mana hal itu termasuk dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan
adab bersama Rasulullah s.a.w.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat
suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan
lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan
suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian)
supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa
mereka berada di sisi Rasulullah, - merekalah orang-orang yang telah
dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan
pahala yang besar.
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar
bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti
(adab dan tatatertib).
Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar
menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Al-Hujurat: 2-5]
Timbul
persoalan lain, baginda Rasulullah s.a.w tidak lagi berada di sisi kita.
Betapalah kita akan mengangkat suara dan menyaringkan suara kepada baginda?
Maka, dalam hal ini, ingatlah pengertian hadis yang bermaksud, "Golongan
ulamak itu adalah pewaris kepada para nabi."
Adapun
guru-guru itu, orang-orang tua yang bijaksana dan mereka yang selalu dilihat
sebagai orang yang berpengetahuan dalam memberikan tunjuk ajar dan bimbingan
kepada kita, kepada bangsa kita dalam hal-hal agama, mereka itu penggalas
amanah Rasulullah s.a.w. Kepada mereka, janganlah kita mengeraskan suara kita.
Rendahkan suara di depan ibu bapa
Maka,
termasuk dalam kalangan manusia yang mesti kita rendahkan suara terhadap
mereka, ialah ibu bapa kita sendiri.
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada
umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada
mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan
janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana
belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka
telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[Al-Isra': 23-24]
Melakukan
amal kebaktian kepada ibu bapa adalah jalan termudah mendapatkan keredhaan
Allah s.w.t. Dalam hubungan ini, baginda Rasulullah s.a.w bersabda:-
"Syurga
itu terletak di bawah tapak kaki ibu." dan sabda baginda lagi;
"Keredhaan Allah itu terletak di atas keredhaan Allah s.w.t."
Sesetengah
pihak melihat keredhaan Allah itu didapati lewat zikir-zikir, wirid-wirid
sebagai yang disebut mereka dalam munajat, "Ilahi anta maqshudi, wa
ridhaka mathluubi - Tuhanku Engkaulah matlamatku dan aku menuntut
keredhaanMu."
Tetapi,
ada yang bersikap kasar, bengis dan mengeraskan suaranya kepada ibu bapa.
Adakah kita termasuk dalam golongan yang berhak mendapat keredhaan Tuhan?
Sekali-kali tidak! Kita perlu hormat ASAL-USUL (ibu bapa) bagi mendapatkan
redha YANG PALING ASAL, YANG PALING AWAL (Allah s.w.t).
Demikian
juga hubungan antara Rakyat dan Pemerintah. Pemerintah berasal daripada rakyat.
Maka pemerintah yang diredhai pemerintahannya adalah pemerintah yang
menghormati rakyat dengan memansuhkan ISA, PPSMI, Auku dan segala undang-undang
yang meresah-gelisahkan hati rakyat.
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu
mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan
yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan)
itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat
sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Ali Imran:159]
Apabila
rakyat tidak meredhai pemerintahan pemerintah, maka Allah s.w.t tidak meredhai
pemerintahan mereka itu. Sebab itulah timbul banyak kekacauan dan semua itu
adalah petanda, sindrom kepada pemerintahan yang tidak diredhai Tuhan. Oleh
itu, banyakkan meminta ampun bagi pihak rakyat dan jangan bersikap kasar dengan
rakyat.
Seperti
mana anak mesti hormatkan ASAL-USUL (ibu bapa) untuk mendapat redha Tuhan, maka
demikianlah pemerintah mesti hormatkan ASAL-USUL (rakyat) untuk mendapat restu
Allah dalam pemerintahan mereka.
Jika
seorang anak itu berbicara dengan baik kepada ibu bapanya sebagai tanda hormat
dan mendapat redha Tuhan, demikian pemerintah jangan berbicara dengan keras dan
nyaring kepada rakyat dengan mengugut dan mengancam mereka dengan jentera
kerajaan seperti polis, tentera dan sebagainya.
Diriwayatkan,
pernah suatu ketika, seorang anak muda mendaftar diri untuk pergi berperang ke
medan jihad. Rasulullah s.a.w merenung wajah anak muda itu dengan pandangan
kasyafnya.
"Anak
muda, jelaskan kepadaku bagaimana keadaan orang tuamu tatkala kamu keluar
daripada rumahmu tadi," kata baginda.
"Ya
Rasulullah, hamba mesti beritahu kepadamu bahawa dengan sesungguhnya aku ingin
syahid di jalan Allah. Tetapi kedua orang tuaku menangis, meminta aku tidak
pergi berperang kerana aku satu-satunya anak tunggal mereka."
"Engkau
mendapat pahala. Sekarang.. dengan perintah Rasulullah, kembalilah ke rumah.
Gembirakanlah hati kedua-dua ibu bapamu," demikian baginda memutuskan.
Maka,
pulanglah si anak muda itu dan gembiralah kedua-dua ibu bapanya. Anak muda tadi
telah beroleh pahala sekali gus mendapat keredhaan Allah di rumahnya dan bukan
di medan jihad.
Sementara
itu, Nabi Ibrahim a.s adalah antara contoh anak yang menyeru bapanya, Aazar
(pembuat patung berhala) ke arah jalan Tauhid dengan baik dan tabah hati.
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya
Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?
Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." [Al-An'aam:74]
Malah,
baginda telah mendoakan kebaikan kepada ayahnya sendiri, walhal tindakan itu
dilarang agama..
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman,
meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekali pun orang itu kaum kerabat
sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli
neraka.
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat)
melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata
kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri
daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. [Surah at-Taubah: 113 - 114]
Disebutkan
di situ, ada dua nilai yang menyebabkan baginda bersikap baik kepada orang
tuanya. Pertama, baginda lembut hati dan bersikap penyabar. Hal inilah yang
mesti hadir dalam jiwa seorang anak yang mahu keredhaan Tuhan dengan cara
melakukan kebaikan kepada orang tuanya.
Maka, hal bercakap
nyaring kepada orang-ramai, menjerkah dengan marah-marah, bersuara dengan keras
tidak melambangkan kelembutan hati seseorang pendakwah itu. Demikianlah jika
kita mahu laksanakan pesan dan wasiat Imam Hasan al-Banna.