Kawe Cakna, Demo Cakna, Kito Bahagia! (I Care, You Care & Happiness!)

Jumaat, 18 November 2011

Wasiat ke-6 al-Banna, jangan banyak bergurau

Janganlah bergurau kerana umat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara, demikian wasiat Hasan al-Banna.
Selepas mewasiatkan supaya kita tak banyak ketawa, maka asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam yang benar-benar ingin berdakwah dan berjihad di jalan Allah agar tidak banyak bergurau dalam pergaulan sehariannya.
Menurut beliau, umat yang berjuang itu selalu sibuk bermuhasabah mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Masalah yang membelenggu umat Islam terlalu banyak, sedangkan mereka yang ingin menyelesaikan masalah tersebut tidak ramai.
Sekiranya umat Islam banyak bergurau maka sudah pastilah masalah-masalah umat Islam itu tidak mudah diselesaikan. Sebab itulah beliau menyeru kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
Bersungguh-sungguh
Sabda Rasulullah s.a.w, 'Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.' (Riwayat Abu Daud).
Menurut hadis ini, apabila seseorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah s.w.t.
Mungkin kita tertanya-tanya, kenapakah Allah s.w.t sukakan Muslim yang bersikap tekun dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya? Mungkin.. salah satu sebabnya ialah kerana Tuhan sendiri bersikap tekun dan bersungguh-sungguh tatkala Dia mencipta makhluk dengan serba kesempurnaan.
Hal ini disokong oleh sebuah hadis lain; "Sesungguhnya Allah itu cantik dan indah. Dan, dengan sebab itu, Dia sukakan keindahan.."
Barangkali.. sebab itu juga Tuhan benci manusia yang 'mencacatkan' kesempurnaan ciptaanNya. Jika lelaki menukar jenisnya kepada wanita dan wanita pula menukar jenisnya kepada lelaki, maka hal itu termasuk dalam kategori 'mencacatkan' kesempurnaan.
Demikian juga.. kalau kita menukar wajah rupa paras muka bumi yang serba hijau dengan tumbuh-tumbuhan sehingga porak-peranda atas alasan pembangunan, maka berlakulah ketidaksempurnaan dengan kejadian bukit runtuh dan sebagainya.
Betapa berhati-hatinya Tuhan dalam penciptaanNya, dapatlah kita gambarkan menerusi al-Quran sendiri. Kerapkali disebut bahawa Allah s.w.t menyusun, mencipta alam ini dalam tempoh 6 hari, 6 masa atau 6 fasa. Hal yang sama turut diungkap pada awal-awal ungkapan sebagai yang tertera dalam Perjanjian Lama.
Oleh kerana, sikap berhati-hati, tekun dan bersungguh-sungguh ini adalah sifat Tuhan ketika menciptakan alam ini, maka sebab itulah Tuhan menyukai Muslim yang suka bersungguh-sungguh, tekun dalam menunaikan pekerjaannya.
Terzahir sikap kesungguhan Tuhan itu dalam menzahirkan penciptaannya, sehinggakan Dia mempertahan kewujudan makhluk ciptaanNya yang bernama manusia walaupun keputusan mewujudkan khalifah tersebut dipersoalkan oleh para malaikat.
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [Al-Baqarah: 30]
Maka, sikap bersungguh-sungguh, tekun membuat pekerjaan itu bukan cuma terletak pada sikap suka menyempurnakan kerja kita sehingga selesai. Malah, jika pekerjaan kita yang baik itu disanggah orang, maka kita akan tentu berusaha keras mempertahankannya!
Sikap kesempurnaan tindak tanduk Tuhan inilah yang perlu dicontohi oleh para dai'e, pendakwah dan mubaligh Islam ketika berusaha keras menyebarkan dakwah mereka walaupun ada tekanan penguasa dan pemerintah yang zalim dan kejam.
Pendakwah yang bersungguh-sungguh dan tekun berdakwah pasti tidak akan mengalah, malahan akan terus berjuang walaupun usaha dakwah mereka akan disekat dan dibantah pemerintah!
Tuhan sukakan Muslim yang bersungguh-sungguh membuat kerja yang baik, apatah lagi, kalau pekerjaan itu terkait dengan urusan dakwah Islam, menyebarkan kefahaman Islam. Ketekunan berceramah, menulis dan mengarang bahan-bahan ilmiah akan menyebabkan umat itu terlepas bebas daripada belitan tipu daya penguasa yang sombong dan zalim.
Tuhan tidak menyukai pendakwah yang mengalah, patah hati, kecewa dan merajuk sehingga meninggalkan usaha dakwah ke atas umatnya. Sebab itulah Tuhan merakam kisah Nabi Yunus a.s ditelan ikan Nun setelah baginda meninggalkan dakwah ke atas kaumnya sebagai suatu pengajaran.
Namun begitu, perihal taubat Nabi Yunus dalam al-Quran turut dirakam agar para pendakwah segera bertaubat jika mereka mengalah terhadap sebarang usaha pemerintah yang menyekat dakwah tersebut.
Oleh itu, pendakwah atau mereka yang beriltizam mewakafkan waktu mereka untuk berjuang memansuhkan ISA, Auku, PPSMI dan lain-lainnya janganlah pernah berhenti daripada berjuang, setelah mereka meyakini bahawa telah berada di landasan yang benar dalam perjuangan ini.
Pemerintah mesti bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyat
Sekiranya manusia Muslim itu seorang pemimpin negara, maka hendaklah dia segera menyelesaikan urusan rakyatnya sehingga sempurna. Janganlah pemerintah itu suka melambat-lambatkan tuntutan rakyat seperti melewat-lewatkan agihan gaji pekerja dengan memberikan pelbagai alasan.
Jika penguasa Muslim itu sudah meluluskan peruntukan untuk membangunkan sebuah projek perumahan, maka janganlah dia membiarkan rumah-rumah itu tidak siap atau terbengkalai pada akhirnya. Terbengkalainya sesebuah tapak projek perumahan melambangkan sikap tidak bersungguh-sungguh, tidak tekun dan cuainya penguasa itu ke atas masalah rakyatnya.
Kerja yang belum beres, tidak selesai atau projek yang tidak sempurna ini adalah simbol, lambang atau kesan daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh atau sikap tidak jujur seseorang penguasa itu. Mungkin pemerintah itu suka bergurau, bercanda, bermain-main dengan wanita di bar, kelab malam dan coffee house serta bermain golf pada waktu lapang.
Perjuangan belum selesai.. sebuah retorik sifar!
Dengan tiba-tiba, pada setiap kali perhimpunan parti, pemimpin jugalah yang kerap bersikap hipokrit dengan melaungkan bahawa perjuangan mereka belum selesai! Ya lah! Nak selesai macam mana kalau mereka asyik bergurau dan tidak bersungguh-sungguh membuat kerja!
Walhal sikap suka buang masa, tidak peka masalah rakyat kerana suka bermain golf, dan sikap tidak prihatin dengan bebanan rakyat itulah yang menyebabkan 'perjuangan' projek perumahan mereka telah terbengkalai.
Tapi.. bagi masyarakat yang masih belum terbangkit lagi kesedaran dan pencerahannya, akan mudahlah ditipu dengan ungkapan-perjuangan belum selesai itu. Lalu, slogan perjuangan belum selesai itu, dengan tiba-tiba melonjakkan nama para penguasa itu di mata rakyat, bahawa kononnya mereka itulah pejuang bangsa!
Perjuangan belum selesai hanyalah retorik sifar, sedangkan masa yang terluang bagi seseorang penguasa itu amat berharga.
Kisah termasyhur Saidina Umar mengendong gandum ke rumah janda-janda pada waktu malam sepatutnya menjadi pengajaran terhadap para penguasa yang asyik beretorik itu. Diriwayatkan.. tatkala Ali r.a. meninggal dunia, ramailah balu dan janda yang menangis. Antara keluhan mereka..
"Selepas ini, siapa lagi yang akan mengetuk pintu rumah kami dan mengendong gandum," demikianlah raungan mereka itu. Pecahlah rahsia Saidina Ali pada ketika wafatnya itu. Demikianlah Umar dan Ali mewakafkan masa malam guna membuat amal soleh kepada rakyat termiskin.
Adakah khalifah ini suka membuang masanya untuk bermain golf, berhibur dangdut dan berlibur di luar negeri mengangkut perempuan sedangkan rakyatnya masih menderita kelaparan seperti yang terjadi pada zaman ini?
Arakian inilah antara sebab kenapa banyak masalah umat hari ini yang masih tidak beres. Sudahlah masalah tidak beres kerana mereka asyik membuang masa di padang golf, tiba-tiba mereka pula mengeluh sambil 'sembang deraih' kepada rakyat dengan menyatakan bahawa 'perjuangan' mereka belum selesai.
Percayalah.. semua ini berlaku kerana, pemimpin umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerja, cuai dalam pekerjaannya, suka bermain golf dan tidak banyak meluangkan masa dan mewakafkan waktunya untuk membela nasib rakyat.
Jika 'membela' sekali pun, mungkin mereka cuma membela ahli-ahli partinya kerana mahu imbuhan sesuatu atau mereka membantu dengan sokongan media kerana mahukan publisiti murahan.
Rakyat wajib menyiasat ke arah mana peruntukan waktu dan jadual ahli parlimen kita itu. Kita perlu bermuhasabah, menghisab ke arah mana menteri-menteri berhibur dan berlibur selama ini.
Jangan lagi, buat selama-lamanya kita yakin, percaya lalu menganggap bahawa kemiskinan kita berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Mungkin 30 peratus kemiskinan rakyat kita berpunca daripada kelemahan kapital, kekurangan modal dan kebodohan sendiri.
Tapi, percayalah bahawa antara punca kelemahan kita hari ini, 70 peratus daripada bermuara daripada sikap kealpaan dan kelemahan penguasa dalam menyusun jadualnya untuk bertemu dengan rakyat dalam acara tidak rasmi.
Hasan al-Banna menyeru umat Islam supaya jangan banyak bergurau. Tapi, kalau penguasa kurang bergurau dan selalu memantau iman rakyat, berusaha keras memimpin kesedaran dan pemerintah sendiri kurang bergurau dan membuang masa, nescaya rakyat pun akan menjadi serius kerana mereka memahami bahawa dunia ini, hakikatnya adalah sebuah jambatan untuk menuju ke akhirat.
Sekali lagi.. 70 peratus kelemahan umat Islam hari ini bermuara daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan dan tugasnya sebagai pemerintah. Wallahu'alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan