"Jauhkan
daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa
pun dan jangan berbicara kecuali yang baik" kata Hasan al-Banna.
Imam
Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan
semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka
sendiri.
Apabila
seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka
akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang
aman.
Bagaimanapun,
perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal
salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal
ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.
Ini
kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak
akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.
Sepotong
hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib
saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat
kelak."
Jadi,
inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di
hari akhirat kelak.
Ada
sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain.
Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati.
Lalu,
meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain
di dalam kerjaya mereka misalnya.
Padahal,
keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan
sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan
mereka tidak sempurna.
"Wa
khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."
Kita
sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar
dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan,
kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.
Tidak
ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia
itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian
Tuhannya.
Maka
jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih,
suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.
Sekali
peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru,
iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu
digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan
ilmunya.
Iblis
berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya
dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.
Ekoran
cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam
a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan
aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"
Demikianlah
kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke
atas Adam a.s itu.
Jelas
di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun
secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.
Sedangkan,
jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina
orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si
penghina.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari
kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula
sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan
janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat
setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah
mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]
Perbaiki hubungan persaudaraan
Maka,
wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan dasarnya digali
daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai moral dan akhlak yang
sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam seluruhnya.
Dengan
menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana,
masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui
kata-kata.
Dan,
inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan
rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui
lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.
Hubungan
ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja
seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.
Yang
lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna
ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu,
umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia.
Demikianlah
tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini
tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara
Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan
persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.
Kita
melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu
Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya.
Tapi,
tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara
Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa
dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin
bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan.
Berkatalah yang baik-baik sahaja
Akhirnya
Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa
isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang
baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai
meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh
badan.
Baginda
Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja."
Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua
ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap
masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.
Apabila berbicara,
mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan
berzikir secara rahsia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan