Janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang
pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tak
akan mendatangkan kebaikan, demikian wasiat Hasan al-Banna.
Sememangnya,
perdebatan lebih banyak mengundang kehancuran kerana pada realiti hari ini,
umat Islam terdedah dengan sifat angkuh, kurang ilmu serta tidak menghormati
kebenaran. Mereka lebih suka berdebat sekadar menonjol-nonjolkan kehebatan
diri.
Sedangkan,
yang jujur berdebat mengenai hal-hal dasar sangat kurang. Dalam pada itu, kita
lihat ramai sekali yang suka berdebat akan memilih tajuk-tajuk yang ringan,
bersifat rantingan dan ini tentunya membuang masa.
Sesetengah
isu itu sudah lama didebatkan dan ia cuma diulang semula semata-mata mahu
meraih publisiti, menonjol-nonjolkan kehebatan diri. Sudah tentulah hal ini
membazirkan masa dan pendirian Islam berhubung masa sangat jelas.
Demi
masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Demikian maksud ayat
al-Quran yang ringkas dan padat dengan falsafah itu.
Mengundang lebih banyak pertengkaran
Sebenarnya
bukanlah Hasan al-Banna tidak menggalakkan debat. Tetapi hampir kesemua debat
ini lebih banyak mengundang parah dan bahaya perpecahan. Sebabnya, pihak yang
berdebat itu tidak berbahas dengan ikhlas, berhikmah, beradab dan intelektual.
Mereka
mungkin tak menjaga lidahnya daripada memaki hamun, mengeluarkan kata-kata
kesat dan semua ini akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu dan akhirnya
akan menimbulkan pertengkaran yang berakhir dengan perpecahan.
Apabila
berlaku lebih banyak perpecahan, maka yang untungnya adalah golongan kuffar
yang sentiasa mengintai kelemahan dan meneropong pekung dalaman umat Islam
sendiri. Dan, retak-retak perpecahan itulah yang melambatkan kemenangan dakwah
Islam.
Hadis
yang masyhur telah menyebutkan bahawa umat Islam ini terpecah kepada 73 puak. "Sesungguhnya
Bani Israil berpecah kepada 72 golongan dan umatku terpecah kepada 73 golongan.
Semua mereka masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat." Sahabat
bertanya: "Siapakah yang selamat itu ya Rasulullah?" Rasulullah
bersabda: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan hidup para
sahabatku." (at-Tirmidzi)
Maka,
perpecahan ini disebabkan oleh pemikiran berbeza. Jika mereka berjuang mencari
kebenaran dengan kejujuran dan keikhlasan, bertujuan ingin berpandukan jalan
hidup dan pemikiran Rasulullah serta para sahabat baginda, maka kemungkinan
penyatuan bolehlah dilakukan semula.
Cabaran umat Islam makin berat
Sememangnya
cabaran umat Islam memang berat dan mereka mestilah cuba mengurangkan
ketegangan daripada sudut emosi dan pemikiran.
Suatu
masa dahulu, umat Yahudi terancam oleh Roman dan mereka telah diperhambakan
oleh bangsa Mesir. Maka, dengan ancaman ini, termasuk campuraduk ajaran para
pendita yang tidak bertanggungjawabm mereka terpecah kepada 71 buah golongan.
Umat
Kristian turut menerima tempias jarum-jarum Yahudi. Maulana Jalaludin Ar-Rumi
dalam kitab Matsnawi menulis bagaimana satu rencana disusun dengan niat
mengelirukan aqidah asal Nasrani hingga pada akhirnya mereka berubah menjadi
Kristian.
Maka
bermula saat itu hingga era kegelapan Eropah, Kristian dan Yahudi saling bertelingkah
sesama mereka. Akhirnya, Islam tiba di celah-celah pertelingkahan itu. Maka,
serangan Yahudi dan Kristian ke atas Islam menyebabkan ancaman ke atas Islam
bertambah berat.
Ini
kerana, umat Islam dikepung pemikiran mereka dan maklumat latar hidup mereka
dimonopoli para penjajah yang ada pertalian erat dengan Yahudi dan Kristian.
Maka,
umat Islam yang sepatutnya memikul amanah sebagai umat pendakwah agama ini ke
atas umat lain telah kalah dengan ujian pemikiran kerana sering bertelingkah sesama
sendiri, dalam memperjuangkan idea antara mazhab.
Alangkah
baiknya, jika mereka mencuba bidang lain, meneroka bidang lain seperti usaha
mengkaji agama-agama lain dan cuba mengheret perhatian penganut agama itu
kepada Islam. Maka, debat-debat yang seperti inilah yang mungkin sesuai
dilaksanakan.
Debat antara agama atau debat dalam agama?
Di
akhir usia dunia hari ini, umat Islam sepatutnya membuat keputusan dengan
bijaksana; adakah mereka mahu habiskan masa dengan bertarung idea sesama mazhab
dalam Islam, atau menghabiskan waktu dengan bertarung idea bersama penganut
agama lain?
Bertarung
sesama sendiri, walaupun berlainan mazhab tidak ke mana-mana kerana akhir pada
debat itu, kita sendiri mengaku bahawa kita sama-sama menganut Islam yang
benar. Maka, tidak berbaloi untuk didebatkan lagi melainkan sekadar memuaskan
hati.
Dan
hal inilah yang mungkin membuang masa, menurut pendapat Hasan al-Banna. Tapi,
jika kita mahu manfaatkan masa untuk mengkaji perbandingan antara agama agar
dengan itu penganut agama lain dapat menyertai Islam sebagai agama universal
ini, maka hal itu tentulah tidak membuang waktu.
Sekurang-kurangnya,
jika tiada yang menganut Islam selepas debat antara agama-agama itu,
setidak-tidaknya kita berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama Tauhid yang
masih mempertahankan kesucian pengabdiannya berbanding agama samawi yang lain.
Ringkasnya, berdebat
dan bertengkar tentang masalah dalam agama Islam itu perlu kita kurangkan kerana
ia banyak mengundang keburukan dan perpecahan, sebaliknya debat antara agama
samawi lebih berfaedah kerana lebih banyak membawa kebaikan kerana ia termasuk
dalam usaha menerangkan kedudukan Islam yang sememangnya tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan