Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun
tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah
perkenalan dan berkasih-sayang. -
Hasan al-Banna.
Gerakan
dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan
sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama
muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh
merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada
perpaduan itu.
Pendek
kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan
memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh
perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.
Pada
akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam
cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka
kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna
kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.
"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara:
"Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang
yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan
salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)
Lihat
anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak
lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada
perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.
Jika
dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu
berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak
mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang
Islam itu dua perkara yang berbeza.
Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin
Diakui
bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk
gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin
- (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."
Wasiat
ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri.
Dalam hadis lain disebutkan:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
"Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi
makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang
engkau tidak kenali."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya,
hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia
perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai,
menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.
Daripada
Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian
manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam
sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga
dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).
Maka,
selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga
termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh
umat Islam.
"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu
ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang
lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya
Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)
'Budaya lepak' secara Islam
Budaya
lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di
tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia
di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita
melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah
menjawab salam!
Dari
Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah
duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami
tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap
dalamnya."
Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka
beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya
Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan
gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi
mungkar." (Muttafaq
'alaih).
Maka,
perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan
berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita.
Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai
itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka
hendaklah menunaikan hak jalan.
Kita
lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang
kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi,
tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan
khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.
Lebih
ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke
masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju
ke masjid.
Negara
Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya.
Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut
jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka
seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka
tidak mengikuti saranan nabi.
Sesungguhnya,
Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam.
Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan
menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara
Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.
Kita
telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi,
orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma
terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.
Salam perlu
disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang
kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang
mengasuh mereka mengejar kemewahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan