Kawe Cakna, Demo Cakna, Kito Bahagia! (I Care, You Care & Happiness!)

Selasa, 1 November 2011

Buat yang Betul, Buat dengan Betul, Buat Betul-Betul

“Buat yang Betul, Buat dengan Betul, Buat Betul-Betul”. Satu ungkapan yang pendek dan panjang ertinya bagi mereka yang memahami. Saya difahamkan bahawa ungkapan yang pendek ini telah melahirkan ramai jutawan bumiputra dalam bidang yang diceburi. Berpaksikan slogan ini, mereka terus gigih berusaha hingga berjaya. Tentunya orang yang mencipta slogan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada mereka-mereka itu. Bahkan menjadi mentor kepada ramai anak muda kini. Syabas dan Tahniah!

Poster ini, aku snap pada dinding sebuah anak syarikat yang terkemuka di tanah air. Anak buah kepada sebuah konsultan gergasi di Pantai Timur. Ku doakan semoga mereka terus maju kehadapan sehingga ke akhirnya. Membantu anak muda mencari destinasinya dan terus menempah kejayaan demi kejayaan. Dari yang berjalan kaki kini bermotokar besar dan mempunyai kediaman idaman yang dahulunya tidak pernah ada di dalam diari hidup mereka. Syabas dan Tahniah buat semua!

Apa yang ingin aku kongsikan ialah kata-kata keramat itu. Ringkas dan padat. Hebat. Buat yang BETUL. Soalan yang selalu berlegar diminda sesiapa sahaja dalam hidup ini. Apa yang ingin aku buat?! Baik untuk diriku, keluarga, sahabat handai, saudara mara atau masyarakat. Apa yang ingin aku buat? Untuk hidup ini? Buat apa? Persoalan yang tak pernah terhenti. Maka, orang yang bijak pandai selalu menafsirkan.. buat yang BETUL! Apa itu yang betul?! Adakah apa yang telah aku lakukan ini adalah pilihan yang BETUL untuk aku lakukan. Terbaik untuk diriku, keluarga, masyarakat dan untuk semua?!

BETUL disini ialah lakukan yang anda percaya dengannya. What you Belief?! Kenapa, kerana mereka yang percaya (yakin @ beriman) sahaja yang akan berjaya. Itu janji Allah. Kalau anda tidak yakin dan percaya, apa yang anda lakuakan tetap anda akan gagal. Walau sejuta orang lain berjaya, tetapi kerana tanpa keyakinan hanya anda seorang sahaja yang gagal. Percayalah! Sebagaimana maksud hadis qudsi : “Aku adalah sebagaimana yang hambaku percaya denganKu!”. Inilah asasnya. Kepercayaanlah asas kejayaan kita.

Buat dengan BETUL. Apa yang anda percaya dan suka lakukan. Namun ianya belum menjamin kejayaan sekiranya anda tidak melakukan dengan betul. Apa yang dimaksudkan dengan ‘Buat dengan BETUL’ ialah anda perlukan perancangan dan strategi untuk berjaya. Sekiranya anda hanya percaya bahawa ini adalah jalan kejayaan anda tetapi anda tidak bertindak menempuhi jalan itu, pastinya anda tidak akan mendapat hasilnya. Liku-liku yang dilalui sepanjang jalan bukanlah penghalang. Ianya cuma lipatan pengalaman yang cantik buat diri yang dambakan kejayaan. Cubalah bertanya kepada mereka yang telah berjaya. Disamping kejayaan itu, tersimpan lautan suka duka perjalanan yang ditempuhi.
“Buat dengan BETUL” bererti tekad melakukan usaha dan strategi untuk menempah kejayaan. Tidak akan rehat dan berdiam diri selagi kejayaan tidak menjengah dihadapan mata. Dan tidak pernah puas dengan apa yang dicapai. Selalu inginkan yang terbaik!

Buat BETUL-BETUL. Penutup mutiara kata yang amat-amat menarik. Buat BETUL-BETUl bererti mengembeling sepenuh tenaga untuk mencapai apa yang dihajati. Berhempas pulas dan sanggup melalui onak dan duri serta ranjau. Satu penegasan yang perlu. Untuk berjaya, pastinya perlu Buat BETUL-BETUL! Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan