MINA: Seperti tradisi setiap tahun, kain penutup Kaabah disebut
kiswah diganti semalam menandakan permulaan haji dan pada tahun ini kain
diperbuat daripada sutera hitam itu bercampur warna emas dan perak.
Selesai solat Subuh, berpuluh-puluh petugas menanggalkan kiswah yang
selama setahun menutupi Kaabah. Para petugas kemudian menggantinya
dengan kiswah baru hasil tangan 240 petugas khas.
Pada masa sama, Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal bin Abdulaziz
yang bertanggungjawab atas jemaah haji, mengingatkan jemaah supaya
mengelak berpolitik dan menumpukan sepenuhnya kepada ibadat Rukun Islam
kelima itu.
Bercakap dalam sidang akhbar di sini, beliau berkata: “Tindakan
tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan
haji untuk tujuan lain.”
Setakat ini, tiada cubaan dibuat dalam hal berkenaan. Sementara itu,
jumlah jemaah luar negara tahun ini di Tanah Suci memecah rekod dengan
peningkatan 1.5 peratus berbanding tahun lalu menjadikan jumlah
keseluruhan jemaah berdaftar seramai 1,828,195 orang.
Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa
Tertinggi Haji, Putera Mahkota Naif Abdul Aziz berkata jumlah ini
meningkat seramai 27,274 berbanding tahun lalu.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah haji, jumlah jemaah luar negara
mencecah rekod melebihi 1.8 juta orang,” katanya kepada agensi berita
Arab Saudi.
Daripada jumlah itu, jemaah lelaki mewakili 54 peratus iaitu seramai 989,776 orang sementara jemaah perempuan seramai 838,419.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 1,684,876
jemaah tiba menggunakan penerbangan, 128,350 menerusi darat dan 14,969
melalui laut, mewakili 183 negara.
Putera itu melahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada pemerintah
Arab Saudi, Raja Abdullah berikutan kejayaan mengendalikan perhimpunan
raksasa itu.
Sementara itu, jemaah memulakan Hari Tarwiah (Hari Memberi Air)
kelmarin, hari yang diberi nama seumpama itu berikutan secara tradisi
jemaah memberi air kepada tunggangan dan ternakan serta menyimpan air
untuk perjalanan ke Arafah.
Ramai jemaah menggunakan Kereta Api Mashair untuk ke Arafah dan
kawasan sekelilingnya yang kosong dipenuhi jemaah untuk menghadiri
kemuncak ibadat haji, semalam.
Kereta Api Mashair memulakan operasi kali pertama tahun ini dengan
kapasiti penuh membawa 72,000 jemaah sejam untuk mengurangkan kesesakan
dan mengelakkan tolak menolak.
Landasan berkembar itu menghubungkan tiga kawasan suci di Mina,
Muzdalifah dan Arafah. Kereta api itu akan menggantikan penggunaan
30,000 kereta sebelum ini, kata pengarah projek Fahd Abu Tarbush. –
Agensi/AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan